Monday, May 13, 2013

Kita Yang TERPILIH..


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.



إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا


Nak tahu kenapa ana mulakan entry kali ni dengan ayat dari kalam suci Al Quran ni?

Sebenarnya ayat inilah yang menjadi pegangan ana sampai saat ini. Pelbagai peristiwa yang berlaku disekeliling menyebabkan kadang-kala diri ni menyalahkan takdir. MasyaAllah. Betapa kerdilnya hamba yang hina ini. 


"SESUNGGUHNYA DI SEBALIK KESULITAN ITU ADA KEMUDAHAN"


Subhanallah..

Besar sungguh makna yang terungkap disebalik Surah Al-Insyirah ni. Telah Allah sendiri nyatakan sebenarnya di sebalik musibah, ujian mahu pun setiap kesukaran yang melanda itu terdapat kemudahan di dalamnya. Cuma sedikit sekali manusia yang ingin berfikir.

Termasuk ana.

Pantang sekali peristiwa yang meragut kesabaran hadir, pasti cepat sahaja menyalahkan takdir.

KENAPA MESTI AKU?

Persoalan yang kerap kali kita fikirkan.

Sebenarnya siapa yang kita ingin persalahkan?

Penyusun takdir?

Penentu qada' dan qadar?

Bukankah itu semua ketentuan Allah?

MasyaAllah...berdosanya diri.


KERANA KESUSAHAN ITULAH DIRI INI BELAJAR NIKMAT KEMUDAHAN.

KERANA KESUSAHANLAH DIA SENTIASA MEMPERHAMBA DAN MENGADU SEMUA PADA TUHAN.


Terjaminkah ingatan kita sentiasa padaNya jika sekiranya ujian itu bukan untuk kita? Fikirkan.

Jadi, bukahkah beruntung apabila kesusahan itu milik kita?

Kerna hanya  "KITA YANG TERPILIH".

Nampakkan? terbukti kesusahan itu tanda sayangNya...


"Ya Allah Ya Rabb, ampunkan aku kerna menjadi hambaMu yang tidak bersyukur. Kau tumbuhkanlah keredaan dalam hatiku atas setiap yang telah Kau tuliskan untukku. Pimpinlah aku ke jalan yang Kau reda."


Amiin.




P/s : Syukran kepada sahabat kerana menyedarkan betapa besar makna disebalik ayat ini. Tabarakallah.

Thursday, May 9, 2013

Kerana Al-Insyirah


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.



Tenggelam dalam lamunan 3 tahun lepas, ana tersenyum sendiri. Tidak menyangka begitu pantas masa berlalu. Benarlah pesanan Imam al ghazali, perkara yang semakin jauh dengan kita dari hari ke hari ialah "masa lalu". Kita tidak mampu untuk mengundurkan masa walaupun sesaat. Oleh sebab itu kita harus mengisi hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang diredai-Nya.

Malam itu ana ke surau sekolah selepas tamat kelas persediaan malam (prep malam) sebelum pulang ke bilik. Menenangkan kepala yang agak kusut dengan perihal tugas dan tanggungjawab yang semakin berat. SPM yang bakal ana duduki yang berbaki beberapa bulan lagi semakin menambahkan tekanan.

Sunyi. Tenang lagi mendamaikan. Subhanallah. Rumah Allah ini pasti sahaja menguis emosi sesiapa sahaja yang melangkah ke dalamnya. Berselisih dengan beberapa orang teman, tetapi, masing-masing lebih selesa membawa haluan sendiri. Memperhambakan diri pada Allah yang Satu. Tempat sandaran semua makhluk di muka Bumi ini. Ana akur, sekeras mana usaha, tanpa keredaan dan keberkatan Allah, siapalah kita..

Usai membaca Al-Mulk berjemaah yang sememangnya menjadi rutin kami di asrama sebelum tidur, ana menunaikan  solat hajat. Memohon agar urusan untuk berjihad di bumi asing ini mendapat keberkatan dariNya. Paling tidak, sebagai seorang anak, pasti saja ana punya niat untuk menggembirakan kedua orang tua.

Selesai semua urusan, ana masih tidak berhajat untuk balik. Saat itu ana benar-benar ingin mengadu pada Dia. Kekuatan diri ini terasa benar-benar diragut. Tekanan yang menekan, menjadikan ana kadang kala putus asa. Masakan tidak, perjalanan harian yang padat, tidak cukup rehat, ditambah dengan masalah-masalah kecil yang timbul menjadikan ana semakin lemah malam itu.

Sebahagian dari lampu surau terutamanya di bahagian pelajar muslimin sudah pun dipadamkan. Suasana yang semakin tenang dan samar-samar membuatkan manik-manik jernih semakin laju turun membasahi pipi. Sahabat baikku yang turut berada di situ juga berkali-kali menyuruh ana bertenang.

Katanya,


"Allah menguji sesuai dengan kemampuan kitaAllah sayang, kerana itu kita diuji."


SYUKRAN SAHABAT. 


Diri ini bertuah mempunyai sahabat sepertimu. Sehingga sekarang, ana tidak lupa pesanan itu. Alhamdulillah..

Mana ada insan yang tidak diduga. Sekuat mana pun bertahan, kadang kala dia pasti menangis. Fitrah seorang hamba. Apatah lagi seorang wanita yang jiwanya mudah tersentuh.


*********************

Keesokannya ana ke sekolah dengan lebih tenang. Syukur, Dia penguat ana setiap hari. Menjalani kelas seperti biasa sehingga waktu rehat. Belum sempat ana keluar dari kelas, salah seorang rakan sekelas ana memberikan sekeping kertas. Katanya dikirimkan untuk ana. Pelik. Tapi siapa pengirimnya??

Tertulis maksud sebaris ayat suci al-Quran, dari Surah Al-Insyirah, ayat 6. 


"Bahawa sesungguhnya setiap kesulitan itu ada kesenangan."



Rupa-rupanya insan itu terdengar ana menangis malam semalam. Atas sebab itu dia mengirimkan ayat ini untukku. Hatiku benar-benar tersentuh. Mulianya hatimu. Mengingatkan ana dengan ayat-ayat suci ini tatkala ana terjatuh. Kupinta pertolongan si penyampai pesanan untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba itu. Sesuailah dirimu itu dipertanggungjawabkan untuk menjaga perihal agama rakan-rakan di sekolah. Walau ana tidak benar-benar mengenalimu, cukuplah ana katakan bahawa betapa Allah menurunkan insan sebaiknya untukku.  Kau tidak kedekut menyebarkan dakwahmu. Jazakallahu khairan katsir. 







" Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran, dan mengajarkannya."
(HR BUKHARI)


P/s : Saat ini, dimana sahaja dirimu berada, moga kau terus kuat berjihad dijalan Allah. Moga kau terus ikhlas memberikan peringatan, sahabat kurniaan Illahi.. Alhamdulillah..

Wallahualam.

Wednesday, May 1, 2013

Buatmu Bakal Zauji

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Buatmu bakal zaujku,

Ana menulis tinta ini khas buatmu yang sering menjadi tanda tanya di setiap rebah sujudku. Walau berkali ana memohon petunjuk untuk mengetahui geranganmu, tiap kali itu jugalah Allah sering merahsiakan siapa dirimu.. Namun usah gusar bidadaraku, telah dicatatkan diri ini milikmu. 

Maafkan daku wahai bakal imamku,

Diriku tidak sehebat wanita pujaan Rasulullah, Saidatina Khadijah. 
Bahkan diriku juga tidak sesempurna Aisyah.
Diriku hanya hamba hina Ilahi. Hatiku ini penuh dengan debu-debu kotor fitrah insani. Yang kadang-kala tergelincir di dalam mainan duniawi. Tetapi ketahuilah bakal imamku yang diriku sedang berusaha memperbaiki diri agar kau bergembira mempunyai cinta hati yang terpelihara anugerah Illahi.

Besar harapanku, 

Agar kau mampu menerima apa adanya diriku. Menerima kelebihan dan kekurangan diri ini sebagaimana ana bakal menerima semua kelebihan dan kekurangan yang ada padamu. Cukuplah kesederhanaan yang ada pada watak mu serta agama yang menguatkan cintaku untuk mu. Jika hilang agama itu, maka hilanglah cinta ini buatmu. 

Wahai peneman sehidup sematiku,

Bimbing diriku ke syurga Nya. Tika ana tersalah dalam melangkah, tegurlah diriku dengan penuh hikmah. Hanya dirimu yang diharapkan untuk memandu jalan yang sebenarnya. Jalan yang bakal kita lalui untuk sama-sama ke syurgaNya. Jangan sesekali berharap untuk dirimu mendengar ucapan sayang dariku kerna ucapan itu hanya khas buatmu tika kita sudah halal bersatu.

Belahan jiwaku,

Ana mengimpikan keluarga yang indah bersama-samamu. Zuriat dan diriku menjadi penyejuk matamu. Apabila dirimu sudah yakin diri ini adalah yang terbaik untukmu, maka dekatilah hatiku dengan cara yang paling baik untukku. Jika kau masih ragu dan tidak pasti, simpanlah saat itu kesuatu masa yang lebih bererti agar dirimu dan diriku bersatu dalam REDHA ILLAHI..


“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” 
( An-Nur 24:26)



Yang sedang menjaga hati,
Tulus ikhlas, 
buatmu bakal zauj ku.