Thursday, May 9, 2013

Kerana Al-Insyirah


Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.



Tenggelam dalam lamunan 3 tahun lepas, ana tersenyum sendiri. Tidak menyangka begitu pantas masa berlalu. Benarlah pesanan Imam al ghazali, perkara yang semakin jauh dengan kita dari hari ke hari ialah "masa lalu". Kita tidak mampu untuk mengundurkan masa walaupun sesaat. Oleh sebab itu kita harus mengisi hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang diredai-Nya.

Malam itu ana ke surau sekolah selepas tamat kelas persediaan malam (prep malam) sebelum pulang ke bilik. Menenangkan kepala yang agak kusut dengan perihal tugas dan tanggungjawab yang semakin berat. SPM yang bakal ana duduki yang berbaki beberapa bulan lagi semakin menambahkan tekanan.

Sunyi. Tenang lagi mendamaikan. Subhanallah. Rumah Allah ini pasti sahaja menguis emosi sesiapa sahaja yang melangkah ke dalamnya. Berselisih dengan beberapa orang teman, tetapi, masing-masing lebih selesa membawa haluan sendiri. Memperhambakan diri pada Allah yang Satu. Tempat sandaran semua makhluk di muka Bumi ini. Ana akur, sekeras mana usaha, tanpa keredaan dan keberkatan Allah, siapalah kita..

Usai membaca Al-Mulk berjemaah yang sememangnya menjadi rutin kami di asrama sebelum tidur, ana menunaikan  solat hajat. Memohon agar urusan untuk berjihad di bumi asing ini mendapat keberkatan dariNya. Paling tidak, sebagai seorang anak, pasti saja ana punya niat untuk menggembirakan kedua orang tua.

Selesai semua urusan, ana masih tidak berhajat untuk balik. Saat itu ana benar-benar ingin mengadu pada Dia. Kekuatan diri ini terasa benar-benar diragut. Tekanan yang menekan, menjadikan ana kadang kala putus asa. Masakan tidak, perjalanan harian yang padat, tidak cukup rehat, ditambah dengan masalah-masalah kecil yang timbul menjadikan ana semakin lemah malam itu.

Sebahagian dari lampu surau terutamanya di bahagian pelajar muslimin sudah pun dipadamkan. Suasana yang semakin tenang dan samar-samar membuatkan manik-manik jernih semakin laju turun membasahi pipi. Sahabat baikku yang turut berada di situ juga berkali-kali menyuruh ana bertenang.

Katanya,


"Allah menguji sesuai dengan kemampuan kitaAllah sayang, kerana itu kita diuji."


SYUKRAN SAHABAT. 


Diri ini bertuah mempunyai sahabat sepertimu. Sehingga sekarang, ana tidak lupa pesanan itu. Alhamdulillah..

Mana ada insan yang tidak diduga. Sekuat mana pun bertahan, kadang kala dia pasti menangis. Fitrah seorang hamba. Apatah lagi seorang wanita yang jiwanya mudah tersentuh.


*********************

Keesokannya ana ke sekolah dengan lebih tenang. Syukur, Dia penguat ana setiap hari. Menjalani kelas seperti biasa sehingga waktu rehat. Belum sempat ana keluar dari kelas, salah seorang rakan sekelas ana memberikan sekeping kertas. Katanya dikirimkan untuk ana. Pelik. Tapi siapa pengirimnya??

Tertulis maksud sebaris ayat suci al-Quran, dari Surah Al-Insyirah, ayat 6. 


"Bahawa sesungguhnya setiap kesulitan itu ada kesenangan."



Rupa-rupanya insan itu terdengar ana menangis malam semalam. Atas sebab itu dia mengirimkan ayat ini untukku. Hatiku benar-benar tersentuh. Mulianya hatimu. Mengingatkan ana dengan ayat-ayat suci ini tatkala ana terjatuh. Kupinta pertolongan si penyampai pesanan untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba itu. Sesuailah dirimu itu dipertanggungjawabkan untuk menjaga perihal agama rakan-rakan di sekolah. Walau ana tidak benar-benar mengenalimu, cukuplah ana katakan bahawa betapa Allah menurunkan insan sebaiknya untukku.  Kau tidak kedekut menyebarkan dakwahmu. Jazakallahu khairan katsir. 







" Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran, dan mengajarkannya."
(HR BUKHARI)


P/s : Saat ini, dimana sahaja dirimu berada, moga kau terus kuat berjihad dijalan Allah. Moga kau terus ikhlas memberikan peringatan, sahabat kurniaan Illahi.. Alhamdulillah..

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment