Saturday, July 27, 2013

Harga Sehelai Tudung Labuh

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. 

Sesuai dengan gelaran seorang mahasiswi universiti, segala rutin perlu disusun sendiri. Termasuk rutin yang kadang-kadang diuruskan insan bernama 'ummi', kini semuanya dalam aturan sendiri. Malah segalanya seakan sudah sebati dalam diri. Petang tadi, usai melipat semua baju-baju, tangan ligat menyusunnya untuk dimuatkan ke dalam almari.

Tiba-tiba hati ini sayu tatkala melihat lipatan-lipatan tudung itu yang sudah seakan bertambah kuantitinya. Baru tersedar yang tempoh penghijrahanku sudah menjangkau lebih setahun. Terlalu baru. Tapi ana sedar, hidayah Dia tak datang selalu.. Allah. Terima kasih kerana memilih diriku.

Rasa damai dan tenang tatkala tudung itu disarungkan. Menutup mahkota termahal seorang muslimah. Ya. Walau ana wanita biasa, yang hina lagi tidak sempurna, tetapi diri ini terlalu berhajat menjadi wanita solehah penghuni syurga. :') Allah. Indahnya syurgaMu.. Berikanlah diri yang hina ini walau sekecil ruang di sana. 

Waktu mula-mula hati terdetik menjadi salah seorang pemakai tudung itu, hati masih ragu-ragu. Dalam masa yang sama hati tetap kuat untuk melabuhkan tudung yang sedia ada. Mujur stoking dan handsock itu sudah menjadi rutinku sejak sekolah lagi. Jadi jalan ini tidaklah sesukar yang disangka. Ayat-ayat Allah turut ini menjadikan diri semakin tekad. Bukankah menutup aurat itu tuntutanNya?

يأيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيبهن 


Maksudnya: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin supaya melabuhkan ke atas mereka daripada jilbab-jilbab mereka.” 
(Al-Ahzab 33:59)

وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman supaya mereka menundukkan daripada pandangan mereka, menjaga kemaluan-kemaluan mereka, dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya.” 
(An-Nur 24:31)


Ana percaya itu kekuatan dariNya. Hati juga sudah lama meronta-ronta untuk berada dalam ketenangan seorang sahabat yang setiap hari seakan-akan memanggil diri ini untuk turut berada dalam ketenangan yang dilaluinya. Jannah namanya. Sesuai dengan perwatakan sederhana, lemah lembut dan tenang yang lahir dari raut wajahnya.

Mungkin jalan yang dipilihnya menjadikannya sentiasa dalam peluk kasih yang Esa.

"Allah, ana juga mahu jadi sepertinya. Bimbing diri ini Ya Rabb.."

Tekadku semakin dikuatkan. Alhamdulillah. Sahabatku turut memberikan sokongan. Bila Allah menghulurkan hidayah, wajarlah selayaknya kita sebagai hamba untuk menyambutnya. 

Permulaan dengan 5 helai tudung yang dibeli secara online atas bantuan ibu saudaraku, kini kuantitinya semakin bertambah. Duit lebihan perbelanjaan yang diterima dari ayah dan ummi, termasuk sedikit biasiswa, selepas ditolak perbelanjaan yuran, buku-buku, ana gunakan untuk membeli tudung-tudung yang berbidang 60'. InsyaAllah. Moga ganjarannya milik penyumbang biasiswa dan terutamanya buat ummi dan ayah.

Syukur. Hingga kini tudung-tudung itu menjadi sebahagian dariku. Sehinggakan bila mana diri ini keluar dari rumah, ana berasa janggal untuk memakai tudung yang tidak menutup dada. Biarlah apa pandangan dia dan mereka. Atau panggilan dari mereka dan mereka. Ketinggalan zaman? Ustazah? Biarkan. Mudah-mudahan gelaran ustazah itu yang akan memperbaiki diri ini dari sehari ke sehari.

Tajdid niat. Moga perubahan ini hanya keranaNya. 


Hadiah seorang sahabat :')

"Beringatlah wahai diri. Walau sejauh mana dirimu berubah, teruslah tundukkan hatimu keranaNya. Sujudlah kepadaNya. Doakan mereka yang belum dikurniakan hidayah itu juga mendapat hidayah yang sama.."


"Sememangnya ada harga yang perlu dibayar untuk memiliki sehelai tudung,
namun, ketahuilah bahawa bayaran di akhirat itu lebih indah kerana ia adalah
HADIAH TERMAHAL DARI YANG MAHA KUASA"

-MUJAHIDAH SOLEHAH-


Wallahualam.

No comments:

Post a Comment